Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Tuesday, April 2, 2013

Kampung Melayu Dimiliki Keluarga Pemimpin MCA

                        TUMPAT: Acap kali penduduk menemui ular sawa sebesar betis. Namun lama-kelamaan kawasan paya menjadi semakin sempit. Bermula dari situlah wujud perkampungan Melayu.

Kewujudannya sebelum air bah merah sekitar 1925. Penduduk berpakat mendirikan rumah. Di kawasan seluas kira-kira dua ekar itulah anak-anak mereka membesar.

Malah generasi awal yang meneroka kawasan itu sekarang sudah tidak ada lagi.

Hari ini tinggal generasi kedua dan ketiga. Malangnya penempatan yang diteroka datuk nenek mereka rupa-rupanya dimiliki orang lain.

Sedangkan Lot 305 Seksyen 1 Bandar Tumpat itu merupakan tanah rizab Melayu, tetapi sekarang dalam geran tertera nama keluarga bekas pemimpin BN, Datuk Foo Chow Yong.

Tahun lepas cucu kepada Chow Yong menggunakan mahkamah mengarahkan lot itu dikosongkan. Sebelum itu penduduk menerima surat peguam.

Ketika Kelantan diperintah BN, pemimpin MCA terbabit merupakan anggota Exco kerajaan negeri. Semasa pilihanraya awal 1980-an, Chow Yong calon tunggal MCA menang di kerusi DUN Sungai Keladi, Kota Bharu.

Seorang penduduk, Anuar Abdullah, 48 berkata, beliau merupakan generasi ketiga yang tinggal di penempatan tersebut.

“Saya masih ingat lagi ayah saya terpaksa membayar sewa kepada tuan tanah sejak dahulu lagi. Kami tidak tahu bagaimana kampung Melayu boleh terlepas ke tangan orang bukan Melayu.

“Kami cuma tahu pemiliknya bukan Melayu selepas menerima surat peguam yang mengarah berpindah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Malah kata beliau penduduk semakin resah selepas Mahkamah Tinggi di Kota Bharu menolak rayuan penduduk pada November 2012.

Sementara itu Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim berkata, berdasar kepada fakta sejarah, penempatan tersebut wujud sejak sebelum merdeka lagi, namun hairan bagaimanapun boleh berpindah milik kepada pemimpin MCA.

"Saya yakin kerajaan negeri dan keluarga tuan tanah dapat menyelesaikan isu tersebut dengan baik. Ini kerana penempatan itu wujud sejak sekian lama dan penduduk tidak ada lagi tempat lain untuk berpindah," katanya.~ hd

0 comments: