Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Monday, May 7, 2012

Azmin: 'Saya tidak pernah derhaka ibu saya'

Azmin Ali
Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali
SHAH ALAM - Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali menegaskan, beliau tidak pernah menderhaka kepada ibunya dan pada masa yang sama meminta Umno supaya tidak mengheret keluarganya, khususnya ibu beliau ke dalam kancah politik.

Dalam kenyataan dikeluarkan awal pagi ini, Azmin juga berkata, institusi keluarga termasuk hubungan kekeluargaan perlu disejahterakan dan bukannya diaibkan menerusi media.
"Saya tidak pernah menderhaka kepada ibu saya. Saya senantiasa kasih dan sayang kepada ibu dan bapa saya.

"Saya tetap mendoakan semoga ibu saya senantiasa berada dalam lindungan ALLAH SWT dan mendapat rahmat-Nya serta beroleh kesihatan yang baik," kata Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak.

Sehubungan itu, Azmin meminta media supaya tidak mengganggu ibu beliau dan Umno "janganlah mengheret ibu saya ke dalam kancah politik Umno yang kotor dan jijik."

"Saya tetap sayang dan hormat ibu saya. Saya juga bersyukur dianugerahkan isteri, Shida yang taat dan setia serta anak-anak yang memahami citra perjuangan yang murni ini.

"Saya bertekad untuk meneruskan perjuangan menjana perubahan melalui wacana segar yang mengangkat dasar kepedulian rakyat. Saya berazam untuk melawan budaya politik jelik yang disuburkan oleh Umno dan media yang ditunggangi mereka," katanya lagi.

Dalam kenyataan hari ini, Azmin juga berkata, beliau tidak akan tunduk menyerah kepada tekanan fitnah Umno.

Sebaliknya katanya, beliau akan tumpu kepada usaha dan kerja-kerja parti selaku Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pusat PKR untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang dijangkakan bulan depan.
Dalam tempoh seminggu ini, Azmin yang juga Pengerusi PKR Selangor berhadapan dengan laporan beberapa media berkenaan isu klip video seks, si lelakinya didakwa mirip beliau dan wawancara ibunya Che Tom Yahaya dengan beberapa akhbar utama dan stesen televisyen serta blog, yang antara lain berkata, beliau sudah sembilan bulan tidak melawatnya dan pintu rumah belum tertutup buat Timbalan Presiden PKR.
Menerusi kenyataan ringkas semalam, Azmin menyifatkan perkembangan-perkembangan itu menunjukkan PRU13 sudah semakin dekat.

KENYATAAN PENUH AZMIN ALI

Kasih Anak: Saya Tidak Pernah Derhaka
Allahyarham ayahanda saya, Pak Ali senantiasa mendidik saya untuk patuh kepada tuntutan al-Quran, berakhlak luhur dan tuntas istiqamah kepada prinsip perjuangan. Didikan dari kecil untuk menghormati serta mengasihi kedua ibu-bapa sesuai dengan pesan ajaran agama Islam menjadi pegangan saya.

Saya tidak pernah menderhaka kepada ibu saya. Saya senantiasa kasih dan sayang kepada ibu dan bapa saya. Saya tetap mendoakan semoga ibu saya senantiasa berada dalam lindungan ALLAH SWT dan mendapat rahmatNya serta beroleh kesihatan yang baik. Saya turut mendoakan semoga Allahyarham ayahanda saya mendapat husnul khatimah dan ditempatkan rohnya di syurga yang penuh nikmat.

Saya menyeru kepada media supaya tidak mengganggu ibu saya dan Umno janganlah mengheret ibu saya ke dalam kancah politik Umno yang kotor dan jijik. Institusi keluarga termasuk hubungan kekeluargaan perlu disejahterakan dan bukannya diaibkan di dada media.

Saya tetap sayang dan hormat ibu saya. Saya juga bersyukur dianugerahkan isteri, Shida yang taat dan setia serta anak-anak yang memahami citra perjuangan yang murni ini.

Saya bertekad untuk meneruskan perjuangan menjana perubahan melalui wacana segar yang mengangkat dasar kepedulian rakyat. Saya berazam untuk melawan budaya politik jelik yang disuburkan oleh Umno dan media yang ditunggangi mereka.

Saya berserah segala-galanya kepada ALLAH SWT dalam menghadapi mehnah ini tetapi saya tidak akan tunduk menyerah kepada tekanan fitnah Umno. Saya akan tumpu kepada usaha dan kerja-kerja parti selaku Pengarah Jabatan Pilihanraya Pusat (JPRP) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 yang dijangkakan pada bulan Jun 2012.

Mohamed Azmin Ali, 
Timbalan Presiden PKR

0 comments: