Rafizi Ramli
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli
SHAH ALAM - Langkah memansuhkan skim pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak bertujuan mengetepikan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS), malah mereka turut diberi peluang terutama bagi yang layak.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, ia sejajar dengan prinsip Pakatan Rakyat (PR) yang mahu setiap rakyat layak mendapat pendidikan percuma.

“Tiada diskriminasi bagi setiap rakyat yang layak untuk mendapat tempat di universiti.

“Cuma kita tidak mahu IPTS yang kedudukannya di rumah kedai yang mengenakan yuran yang tinggi tetapi suasana pendidikannya tiada.

“Ramai pelajar jika ditanya, jawapannya, mereka sukar dapat kerja dan terpaksa tanggung beban untuk bayar hutang yang banyak,” katanya ketika menjawab soalan penonton.

Katanya lagi, hanya IPTS yang benar-benar layak akan diterima dan akan diberikan bantuan.

“IPTS yang layak akan dapat subsidi dan yuran yang setara dengan universiti awam,” katanya dalam Debat Sinar Harian berkenaan dengan isu PTPTN di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini malam tadi.