Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Tuesday, May 8, 2012

Bersih 3.0: Polis tanya soalan seksual

Sumber Harakahdaily

PETALING JAYA, 8 Mei: Peguam, Latheefa Koya hari ini menyatakan rasa terkejut apabila soalan yang ditanya kepada dua peserta yang ditahan polis, Khalid Mohd Ismath, seorang mahasiswa dan Timbalan Ketua Cabang PKR Rasah, R.Tangam hanya tertumpu kepada soalan seksual sahaja.
Beliau yang ditemui pada sidang media di Ibu Pejabat PKR turut menyatakan tidak ada soalan yang ditanya berkaitan dengan perhimpunan Bersih pada 28 April lepas.

"Saya amat terkejut apabila diberitahu oleh Khalid bahawa polis yang menyoal beliau hanya bertanya adakah beliau menyokong amalan seks sejenis iaitu homoseksual, lesbian atau liwat antara dua jantina (LGBT).

"Malah pihak polis turut menyoalkan beliau apakah beliau tidak tahu bahawa 'facebook' itu hak milik Yahudi dan setiap bulan bayaran bil internet boleh menyumbang kepada ekonomi Yahudi," jelasnya.

Tambah beliau, soalan-soalan tersebut adalah mirip kepada soalan-soalan yang pernah ditanya kepada tahanan Akta Tahanan Dalam Negeri (ISA).

"Kita ingin tahu apa sebenarnya agenda polis menyoal tahan dengan soalan-soalan sedemikian.

"Selain itu juga Khalid telah diletakkan di hadapan tahanan lain (OKT) warga asing yang tidak mendapat akses peguam dan dalam masa yang sama seorang anggota polis telah menjerit kepada OKT Bangladesh bagi tujuan menakutkan Khalid," katanya.

Katanya lagi, dalam waktu Khalid diletakkan di hadapan OKT lain, terdapat seorang anggota polis telah masuk dan mengatakan Khalid telah memukul serta membunuh polis, malah turut mengugut mengatakan 'habislah kau malam ini'.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan tindakan polis menangkap Khalid ketika beliau hadir untuk memberi kerjasama adalah melanggari etika serta tidak sepatutnya berlaku.

Malah Khalid juga turut diarahkan menandatangi satu borang yang beliau sendiri tidak mengetahui apa tujuannya.

“Tetapi setelah kita telitikan ia merupakan borang yang memberi kebenaran pihak polis menyoal Khalid tanpa ditemani peguam.

Sementara itu, N. Surendran berkata keputusan pihak polis memaparkan gambar-gambar di media-media arus perdana sebenarnya telah melanggari peruntukan yang ada.

"Kalau betul pihak polis ingin meminta mereka semua hadir beri keterangan, polis sepatutnya mengeluarkan notis bukannya bertindak mengikut arahan Umno Barisan Nasional dengan memaparkan gambar-gambar.

"Bagi saya ini merupakan satu agenda yang telah dirancang oleh Umno Barisan Nasional dengan tujuan untuk menakutkan mereka serta memalukan peserta," tegasnya.

Turut hadir pada sidang media tersebut adalah Khalid yang mana beliau telah ditahan lebih 24 jam walaupun mahkamah menolak permohonan polis untuk mengenakan tahanan reman selama empat hari.

0 comments: