Ahli Parlimen Indera Mahkota Azan Ismail peruntukan tambahan itu adalah “luar biasa” kerana ia menunjukkan belanjawan yang dibentang oleh Perdana Menteri Najib Razak sebelum ini hanya bertahan dua bulan.
“Cadangan untuk tambahan belanjawan 2011 ini sudah diura-urakan sejak empat bulan yang lalu. Maknanya belanjawan 2011 hanya boleh bertahan dua bulan saja, Ini fenomena yang pelik , agak luar biasa, ” kata Azan.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Awang Adek Hussin hari ini membentangkan rang undang-undang itu selepas sesi soalan dan memohon wang tambahan sebanyak RM13,186,713,000.
Terdahulu, Perdana Menteri yang juga menteri kewangan, Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan Bajet 2011 telah memohon RM162,805,323,000.
Azan berkata permohonan untuk peruntukan tambahan begitu besar juga menunjukkan pakej-pakej ekonomi kerajaan tidak disokong oleh belanjawan yang betul, sehingga memerlukan lagi suntikan dana baru dalam tempoh singkat.
“Ramai ahli ekonomi berpendapat rancangan-rancangan kerajaan yang diwar-warkan oleh Perdana Menteri sebenarnya tanpa mengambil kira keupayaan belanjawan, maksudnya program-program di bawah ETP, NKRA. Tidak ada kombinasi yang kukuh di antara pengumuman dan keupayaan belanjawan,” kata beliau.
“Maknanya kepincangan sudah nampak dengan jelas. Bulan dua sudah ada keperluan peruntukan tambahan sehingga ia perlu dibentangkan sekarang,” tambah beliau.
Beliau juga menegaskan kerajaan terpaksa memohon peruntukan tambahan itu kerana meluluskan terlampau banyak projek-projek untuk disogokkan kepada kroni yang memohon.
Azan mempersoalkan keperluan peruntukan tambahan itu jika benar dakwaan Perdana Menteri bahawa Malaysia mendapat suntikan pelaburan luar RM20 bilion yang berupaya menghasilkan RM60 bilion.
Beliau juga melahirkan kebimbangan belanjawan tambahan itu akan digunakan untuk “projek-projek mee segera” yang menguntungkan kroni Umno-BN sahaja.
“Kerajaan sudah memberikan beban kepada rakyat dengan menarik balik sejumlah subsidi, nampaknya ada lain-lain tempat mereka membelanjakan lebih banyak untuk menguntungkan kroni sehingga defisit negara perlu ditambah,” kata Azan.
Beliau berkata peruntukan tambahan RM13 bilion akan memburukan defisit yang sudah pun amat serius, bermakna Malaysia akan terus mengalami masalah imbangan kewangan untuk jangka masa yang lama jika dasar-dasar BN dikekalkan.
Azan berkata kerajaan persekutuan sepatutnya meneladani kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dan Pulau Pinang dalam menguruskan wang rakyat.
“Saya rasa Barisan Nasional menunjukkan ia tidak mampu merancang bajet dengan baik seperti yang dirancang oleh Pakatan Rakyat seperti di Selangor dan Pulau Pinang di mana kita boleh merancang perbelanjaan sehinggakan kita ada baki setiap kali perbelanjaan. Ini kerana kita tidak boros dan tidak ada ketirisan,” kata beliau.
0 comments:
Post a Comment