Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Friday, June 24, 2011

Bola Sepak Kelayakan Olimpik 2012 : Malaysia Kalahkan Labenon 2-1


PENYUDAH kemas daripada penyerang skuad negara Wan Jack Haikal ketika menjaringkan gol kedua pada aksi menentang Lebanon di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

MALAYSIA melangkah ke pusingan ketiga Kelayakan Olimpik 2012 selepas menewaskan Lebanon 2-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi meskipun terpaksa beraksi 10 pemain pada 40 minit terakhir.

Jaringan Irfan Fazail dan Wan Zack Haikal Wan Nor pada separuh masa pertama sudah cukup untuk mengesahkan laluan Malaysia ke pusingan seterusnya meskipun Chadi Atie berjaya mengubah kedudukan kepada 2-1 pada separuh masa kedua.

Aksi skuad bimbingan Ong Kim Swee itu mendapat sokongan padu daripada 10,000 peminat tempatan.

Malaysia mara dengan agregat 2-1 setelah mencatat keputusan seri 0-0 pada aksi pertama di Beirut pada Ahad lalu.

Dengan kejayaan itu, Malaysia kini berada dalam kelompok 12 pasukan terbaik Asia yang akan dipecahkan kepada tiga kumpulan bagi merebut tiga slot automatik dan satu slot playoff ke Sukan Olimpik 2012 di London.

Pada aksi malam tadi, Kim Swee melakukan dua perubahan dengan Affize Faisal Mamat menggantikan Mahali Jasuli yang digantung satu perlawanan manakala Syahrul Azwari Ibrahim menggantikan tempat Izzaq Faris Ramlan.

Jurulatih Lebanon, Samir Saad pula hanya menukar seorang pemain iaitu Jad Noureddine yang diturunkan untuk mengambil alih posisi Hassan Chaito.

Malaysia tidak menunggu lama apabila memperoleh gol pertama seawal minit kelapan menerusi rembatan Irfan dari dalam kotak penalti selepas berlaku keadaan kelam-kabut berpunca daripada sepakan sudut Wan Zack Haikal.

Di sebalik penguasaan penuh Malaysia, Lebanon hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-36 tetapi rembatan kaki kiri pemain sayap, Mohamad Haidar sekadar menggegar palang gol.

Malaysia terus selesa apabila berjaya menambah gol kedua pada minit ke-40 hasil penyudah kemas Wan Zack selepas menerima lorongan baik Gary Steven Robbat dari bahagian tengah.

Namun malang menimpa Gary Steven apabila dia dibuang padang pada minit ke-50 selepas menerima kad kuning kedua akibat mengasari pemain Lebanon.

Akibatnya, Lebanon berjaya menghasilkan gol pertama pada minit ke-63 menerusi Chadi untuk menjadikan kedudukan 2-1 tetapi Malaysia kental bertahan sehingga wisel penamat.

Kim Swee yang tidak dapat menyembunyikan kegembiraan selepas perlawanan itu menjelaskan:“Ini membuktikan walaupun kita beraksi 10 pemain pada 40 minit terakhir, pemain telah menunjukkan kesungguhan tinggi. Tapi ini baru permulaan, banyak lagi rintangan perlu diharungi pada peringkat kumpulan nanti,” kata Kim Swee pada sidang media selepas perlawanan.

Samir pula berkata: “Kami cuba cari gol penyamaan tetapi pemain Malaysia beraksi dengan semangat yang cukup tinggi disebabkan mereka mendapat sokongan padu penyokong.”


0 comments: