Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Tuesday, June 7, 2011

Perlukah Jakim menjadi ‘halal player’?

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiEB3oy_eC0Dlq6RweHZi4XFJOlVN6LvZsS8zVrkDZuy1kfkOICmsgBwzZjFG4gdPdSXR0ZL1iVd6m6-TyBwpy1sQl15btKPWkNqmAHAFuoyVyHvUu8QJ6I-Gori8wYrjUhlcZj2xceQJw/s400/LogoHalalJakim.jpg
SETIAP kali media mencanangkan isu halal di media massa berhubung produk makanan dan barangbarang gunaan, khalayak rakyat merasa risau, takut-takut mereka tersalah guna atau termakan benda- benda haram.

Sementara pihak industri merasa amat takut dan kecut perut, kalau-kalau produk mereka mengandungi campuran ramuan haram atau sijil halal mereka tidak sah.

Mereka risau dan terfikir apa akan jadi dengan produk mereka, dan nasib pekerja-pekerja mereka yang sudah tentu menanggung anak, isteri, ayah dan seisi keluarga.

Rasa gerun dan takut ini akan lebih menyeksa pihak industri apabila media yang mencanang berita itu memetik sumber berita dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sama ada menterinya atau pun pegawaipegawai kanannya atau para pegawai Bahagian Hab Halal Jakim yang menyewa pejabat di tempat yang amat berprestij di Cyberjaya.

MITOS HALAL

Khalayak massa merasakan Jakim adalah agensi kerajaan yang ‘maksum’ sifatnya apabila membuat kenyataan berhubung isu agama dan isu halal. Ketakutan ini terbawa-bawa dan mempengaruhi pihak penerbit surat khabar.

Akhbar-akhbar merasa takut kalaukalau liputan dan ulasan mereka mengenai isu halal akan menyalahi Jakim. Mereka merasakan pendapat Jakim adalah pendapat kerajaan, menyalahi pendapat Jakim bererti menentang kerajaan Malaysia.

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hanya diberi tugas mendaftar syarikat dan SSM tidak terlibat dengan perniagaan.

Demikian juga dengan tugas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Ia terlibat dengan tugas penguatkuasaan termasuk penguatkuasaan halal. KPDNKK tidak terlibat sebagai pengeluar sijil halal.

Jakim membuat kerja lebih daripada itu. Tugas JAKIM dalam pensijilan halal dibuat dalam bakul Four in One (empat dalam satu), iaitu Jakim sebagai halal registrar (mendaftar badan-badan Islam yang ingin menjadi badan pensijilan halal), halal accreditor (badan yang mengiktiraf badanbadan Islam sebagai badan pensijilan halal) , halal certifier (badan yang mengeluarkan sijil halal) dan sebagai halal enforcer (badan yang membuat kerja-kerja penguatkuasaan halal).

Keempat-empat kerja ini dibuat secara pentadbiran dan tidak ada undang-undang yang mengikat Jakim supaya membuat kerja-kerja tersebut.

Sehingga sekarang terdapat tiga undang-undang yang menyangkut isu halal iaitu:

i) Akta Perihal Dagangan 1972, ii) Perintah Perihal Dagangan

Penggunaan Perbahasaan ‘Halal’ 1975; dan

iii) Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Makanan), 1975.

Ketiga-tiga undang-undang ini terletak di bawah jurisdiksi KPDNKK, bukannya di bawah Jakim. Mengikut undang-undang ini, Jakim, Jabatan Agama Islam Negeri (Jain), pihak swasta dan syarikat sendiri boleh mengesahkan bahawa produk tersebut adalah halal.

Walaupun ketiga-tiga undangundang tersebut terletak di bawah KPDNKK, namun ia tidak memainkan peranan sebagai halal registrar, halal accreditor dan sebagai halal certifier. KPDNKK hanya membawa tugas sebagai halal enforcer sahaja. Walaupun ketigatiga undang-undang tersebut tiada hubung kait dengan Jakim namun ia begitu ghairah membuat ke empat-empat tugas di atas secara Four in One.

Kesan daripada Jakim membuat kerja-kerja yang bukan tugasnya, Jakim terpaksa memohon pertambahan pegawai dan kakitangan, peruntukan pembinaan makmal dan lain lain kemudahan logistik yang jumlahnya tidak sedikit.

Nampaknya Jakim langsung tidak kasihan kepada sumber kewangan kerajaan yang terhad dan langkah berjimat cermat kerajaan. Sikap ghairah Jakim ingin menjadi ‘halal player’ telah membebankan kerajaan dan sekali gus mengelirukan pengguna.

SIJIL TIDAK DIIKTIRAF

Bahana besar Jakim menjadi halal accreditor ialah apabila ia melantik dirinya sendiri sebagai badan yang mengiktiraf (halal accreditor) kepada badan-badan pensijilan halal (BPH) di luar negara. Pada masa yang sama Jakim telah tidak mengiktiraf BPH dalam negeri walaupun diketahui sesetengah badan itu lebih kompeten daripada sesetengah BPH luar negara yang di iktiraf oleh Jakim.

Lebih buruk lagi, Jakim telah menyenaraikan BPH dalam negeri yang mengeluarkan sijil halal sebagai badan dan logo yang tidak diiktiraf Jakim. Ini menyebabkan sesetengah media menuduh sijil BPH yang tidak diiktiraf Jakim sebagai sijil halal palsu dan sijil halal tidak sah.

Kesannya tidak kecil, sesetengah pengguna merasakan mereka telah menggunakan produk haram dan memakan makanan haram, bila memakan produk atau makanan yang disahkan halal oleh BPH yang tidak diiktiraf Jakim. Pengguna lupa bahawa pengiktirafan Jakim ke atas BPH tiada kena mengena dengan hukum syarak yang menentukan kehalalan sesuatu produk atau restoran.

Lebih lucu lagi BPH terkemuka di dunia iaitu IFANCA tidak diiktiraf sijil pengesahan halalnya bagi pengesahan halal yang dibuat di Malaysia, tetapi diiktiraf halalnya sekiranya ia di buat di Amerika.

Seolah-olah seorang manusia berkulit cerah ketika di Amerika, keIslamannya diiktiraf, tetapi bila menjejakkan kaki di Malaysia, ianya telah menjadi ‘kafir’ atau keIslamannya tidak diiktiraf.

Daripada siapa dan dari bumi mana Jakim berguru dan mendapat logika mengiktiraf dan tidak mengiktiraf BPH ini. Ia dibuat secara syarie atau kerana sebabsebab lain yang tidak ada kena mengena dengan hukum syarak.

Akibat dari kekeliruan ini, tidak mustahil kredibiliti Jakim akan hilang yang mengakibatkan keyakinan rakyat terutama pemilik industi kecil dan sederhana (IKS), para pengusaha restoran dan pengguna-pengguna yang perihatin akan hilang keyakinan dan sokongan kepada kerajaan.

Sikap ‘perasan’ Jakim dan menganggap dirinya sebagai competent authority dalam isu agama akan menjadikan institusi agama tidak dihormati oleh orangorang berilmu dan dibenci oleh khalayak massa.

Dalam isu pensijilan halal, Jakim sepatutnya menjadi perancang dan penyelaras kepada kerja-kerja bagi menjamin produk yang diguna pakai di Malaysia adalah halal, bukannya menjadi ‘halal player’ atau ‘halal certifier’ yang turut bersaing dengan BPH lain sama ada dengan BPH dalam negeri mahu pun luar negara.

Dengan kerja perancangan dan penyelarasan yang kemas dan mantap, Jakim tidak akan difitnah sebagai membuat kerja-kerja sensasi di luar tugas utamanya.

IMAM BESAR MASJID ISTIQLAL INDONESIA

Imam Besar Masjid Istiqlal Indonesia, Dr Ali Mustafa Yaacub yang juga Naib Ketua Bahagian Fatwa, Majlis Ulama Indonesia (MUI) dalam bukunya Ma’ayir al- Halal wal Haram (Kriteria Halal dan Haram) yang diberi kata pengantar oleh Dr Sheikh Wahbah az-Zuhaily, di halaman 327 dan 328 menyatakan bahawa umat manusia khususnya penganut Islam memerlukan ‘satu hukum’ (yang universal sifatnya). Apa yang halal di Eropah sepatutnya halal di Amerika dan apa yang halal di Asia sepatutnya halal di Afrika.

Kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa sikap Jakim yang mengkategorikan sijil BPH yang diiktiraf dan tidak diiktiraf amat menyusahkan umat Islam baik di Malaysia atau di luar Malaysia selain dari ianya membelakangi hukum syarak.v HALAL DI INDONESIA

Di Indonesia,agensi kerajaan yang bernama Depag atau Departmen Agama atau Kementerian Agama yang sifatnya seperti Jakim di Malaysia tidak mengeluarkan sijil pengesahan halal. Agensi yang mengeluarkan sijil pengesahan halal ialah LPPOM- MUI, iaitu badan Islam swasta.

Sementara di Filipina, Mahkamah Agung negara itu pada 9 Julai 2003 telah memutuskan bahawa Kerajaan Filipina, melalui Pejabat Hal Ehwal Islam tidak boleh mengeluarkan sijil pengesahan halal. Sijil-sijil pengesahan halal hanya boleh dikeluarkan oleh badan-badan Islam swasta sahaja.

Di negara-negara lain seperti China, New Zealand, Australia, India, Amerika Syarikat dan negaranegara Afrika, sijil pengesahan halal dikeluarkan oleh badan swasta bukan oleh agensi kerajaan.

Jakim perlu pulang ke akar umbi dengan menyedari bahawa pensijilan halal adalah sebahagian daripada Fardu Kifayah yang tarafnya sama dengan pengurusan jenazah. Perlukah Jakim selaku agensi pusat dalam sektor pengurusan hal ehwal Islam menja di main player dalam isu Fardu Kifayah kemudian melarang orang lain turut sama berperanan dalam ibadah fardu tersebut.

Jakim sepatutnya mengutamakan perkara-perkara awlawiyyat dengan kembali ke awal penubuhannya pada 18 Oktober 1968 iaitu menjadi Urusetia kepada Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) di bawah Jabatan Perdana Menteri yang telah beberapa kali bertukar nama.

Kali terakhir namanya ditukar kepada Jakim pada 1 Januari 1997 di mana tugas utamanya adalah menjadi perancang dan penyelaras utama dalam isu pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia.

Isu mengenai ajaran sesat, penyelarasan penguatkuasaan hukum-hakam Islam dengan mengetengahkan Legacy Mahkamah Syariah supaya rakyat tidak melihat Mahkamah Syariah sebagai subordinate kepada Mahkamah Sivil. Kes-kes yang perlu dibicarakan di Mahkamah Syariah perlu disegerakan supaya orang ramai dapat melihat Islam sebagai agama rahmat kepada seluruh manusia.

Jakim perlu memperkasakan ‘Ketuanan Islam’ di Malaysia. Sikap tidak mahu memikul tanggungjawab dalam kerja-kerja pemerkasaan Islam dengan mengelak kes-kes yang secara langsung ada hubungan dengan jenayah Islam dari dibicarakan di Mahkamah Syariah kerana takut berlaga dengan Mahkamah Sivil menunjukkan tiada kesungguhan Jakim dalam memperkasakan ketuanan Islam. Jakim perlu mengetengahkan pemahaman yang betul tentang apa itu Qisas, apa itu Qazaf dan bila perlunya Li’an dalam konteks kes jenayah Islam.

PUSAT PENYEMBELIHAN LUAR NEGARA

Dalam isu pensijilan halal tugas sebenar Jakim adalah membuat pengesahan pusat sembelihan di luar negara bersama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) bagi memastikan pusat-pusat sembelihan tersebut beroperasi secara Islam. Pengesahan dua agensi kerajaan ini bertujuan untuk memudahkan Malaysia mengimport daging halal ke Malaysia.

Hanya badan-badan Islam luar negara yang diiktiraf Jakim dan JPV sahaja boleh mengeskport daging halal ke Malaysia. Jakim jangan cuba memanjangkan tugas ini dengan membuat pengesahan produk di luar negara. Kerja pengesahan produk di luar negara tiada kena mengena dengan tugas Jakim bersama JPV. Kehadiran pegawai Jakim bersama pegawai JPV ke luar negara adalah untuk menunjukkan ia masih relevan dalam isu sembelihan padahal JPV boleh memohon jawatan pegawai agama di jabatannya secara kader.

Dalam isu pensijilan halal, Jakim sepatutnya mempunyai satu pasukan yang kompeten dalam skop kerja untuk menilai sijil atau diploma halal yang dikeluarkan oleh mana-mana IPTA atau IPTS.

Diploma atau sijil halal tersebut wajar ditapis atau dinilai oleh Jakim sebelum dikeluarkan kepada pelajar. Hari ini banyak institusi yang mengeluarkan diploma atau sijil halal tetapi rakyat tidak mengetahui sejauh mana Jakim terlibat dalam membantu IPTA atau IPTS atau institusi tersebut.

RUMUSAN

Jakim wajar terlibat dalam menentukan ramuan sesuatu produk adalah suci dan halal.

Pemeriksaan makmal ke atas bahan-bahan tersebut perlu dibuat apabila Jakim dirujuk oleh khalayak massa atau jika ianya diragui kehalalannya. Kata putus oleh Jakim sama ada ianya halal atau tidak, wajar dihormati.

Jika Jakim terus-menerus menanam keraguan di kalangan khalayak massa bahawa produk yang disahkan halal oleh BPH yang tidak diiktiraf Jakim adalah meragukan dan pada masa yang sama Jakim menjadi BPH, ia tidak jauh berbeza dengan kerja-kerja yang telah dibuat oleh bekas kumpulan al-Arqam iaitu meragukan kehalalan mi, kuetiow dan roti yang dikeluarkan oleh pengusaha lain dan pada masa yang sama al- Arqam mengeluarkan mi, kuetiow dan roti sendiri.

Perlu diingat bahawa gaji pegawai dan kaki tangan Jakim, struktur pejabat, kenderaaan dan seluruh penyelenggaraan dan penjagaan pejabatnya adalah ditanggung sepenuhnya oleh wang rakyat. Janganlah sekali-kali dalam isu pensijilan halal, Jakim terus-menerus menyusahkan pihak industri dan mengelirukan pengguna.

Bila paluan gendang dan tiupan trompet di akhir-akhir ini bergema dan berkumandang dengan begitu hebat sekali dengan tujuan supaya Jakim dan Jain sahaja diberi hak monopoli sebagai BPH tunggal di Malaysia, sebenarnya ia bukan satu isyarat yang akan menjadikan industri halal Malaysia bertambah maju dan makmur, tetapi sebaliknya akan menghilangkan sokongan majoriti rakyat kepada kerajaan

0 comments: