Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Sunday, June 12, 2011

Pakar Matematik bertaraf dunia



UMURNYA baru 29 tahun tetapi pencapaian dalam bidang matematik sangat mengagumkan. Dengan penampilannya yang besederhana, pasti ramai yang tidak menyangka Mohd. Suhaimi Ramly ialah seorang pakar matematik bertaraf dunia.

Bermula sebagai wakil negara dalam Pertandingan Matematik Olimpiad Antarabangsa (IMO) di Romania ketika berusia 16 tahun, Suhaimi kini bergelar pakar matematik bertaraf dunia.

Walaupun penyertaan kali pertamanya pada tahun 1999 itu tidak membuahkan hasil, ia tetap dianggap pengalaman bernilai yang memacu minatnya untuk berusaha lebih gigih.

“Sebelum ke IMO, saya menyertai Olimpiad Matematik Kebangsaan (OMK) dan pernah meraih anugerah juara pada 1998 dan 2000.

“Ia keputusan yang tidak dijangka kerana saya memasuki OMK tanpa sebarang latihan. Selepas itu, barulah saya ditawarkan untuk berlatih bersama Prof. Abu Osman dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk mewakili negara,” ujar bekas penuntut Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Jasin, Melaka ini.

Pingat pertama negara

Kerja kerasnya berbaloi apabila terpilih sekali lagi untuk mewakili negara dalam pertandingan sama pada tahun berikutnya. Kali ini, dewan besar di Korea Selatan menjadi medan perjuangan Suhaimi.

“Alhamdulillah, saya berjaya membawa pulang pingat gangsa untuk negara. Ia adalah pingat pertama untuk Malaysia sejak menyertai pertandingan berprestij tersebut sejak tahun 1995,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini di pejabatnya di Setapak, Kuala Lumpur.

Tahun berikutnya, dia sekali lagi dipilih mewakili negara ke pertandingan sama. Kali ini, Suhaimi dan enam orang rakan terbang ke Amerika Syarikat (AS) untuk menduduki peperiksaan IMO. Dengan mendapat satu jawapan betul, dia layak menerima Sijil Sanjungan Terhormat.

“IMO adalah satu pertandingan matematik bertaraf dunia untuk pelajar sekolah menengah. Lebih 100 negara mengambil bahagian dengan setiap negara menghantar enam orang wakil.

“Pertandingan ini tiada kategori. Lebih 500 pelajar pintar matematik dari seluruh dunia akan duduk dalam satu dewan besar untuk menjawab peperiksaan. Had umur yang ditetapkan ialah bawah 20 tahun dan belum memasuki universiti.

“Semua peserta tidak kira yang berusia 13 tahun hingga 20 tahun akan duduk dalam satu dewan dan menjawab soalan yang sama.


KURANG mendapat latihan semasa zamannya mewakili negara, kini Suhaimi nekad membantu para peserta dengan melatih mereka secara intensif.

“Ia berlangsung selama dua hari. Untuk hari pertama, peserta akan diberikan tiga soalan dan perlu menyelesaikannya dalam tempoh empat jam setengah. Rutin yang sama juga ditempuh untuk hari kedua.

“Mungkin ramai yang pelik, kenapa hanya tiga soalan dan mengapa ia perlu mengambil masa hingga empat jam setengah.

“Berdasarkan pengalaman terdahulu, masa yang diberikan itu tidak cukup kerana soalan-soalan yang diberikan amat sukar.

“Soalan itu sebenarnya direka oleh pakar-pakar matematik dan profesor dalam bidang ini dari seluruh dunia,” ujar graduan matematik dari Massachusetts Institute Of Technology (MIT) ini.

Gugup

Mengimbau pengalamannya bertanding di peringkat dunia, Suhaimi akui dia tidak dapat lari daripada perasaan gugup dan gementar terutamanya ketika kali pertama dia mewakili negara.

“Saya masih ingat lagi bila saya mendapat kertas soalan, saya hanya pandang soalan berjam-jam lamanya. Soalannya terlalu sukar sehinggakan saya tidak tahu dari mana saya harus mula menjawab.

“Sedar-sedar masa sudah tinggal setengah jam dan dalam masa yang terlalu singkat itu tidak banyak yang mampu saya lakukan,” kenangnya yang suka mengisi masa lapang dengan menyelesaikan soalan matematik.

Katanya lagi, minat terhadap subjek kira-kira itu bercambah ketika belajar di tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Gombak, Suhaimi sangat berterima kasih kepada guru matematiknya ketika itu, Cikgu Chiu Kam Choon.

“Beliau adalah insan yang membuatkan saya jatuh cinta pada matematik. Bagi saya, pengajarannya sangat berkesan dan sejak itu saya tidak lagi menganggap subjek mengira ini susah,” ujarnya yang kini menjadi Ketua Jurulatih Negara untuk IMO.

Julai depan, Suhaimi akan mengetuai pasukan negara bersama enam orang peserta untuk mengikuti IMO di Amsterdam, Belanda. Kali ini, dua peserta berusia 15 tahun turut terpilih mewakili negara ke pertandingan tersebut.

Selain dibiayai oleh Kementerian Pelajaran, badan korporat ExxonMobil turut sama menaja kumpulan Malaysia ke IMO.

“Para peserta perlu menjalani latihan intensif selama sekurang-kurangnya 250 jam sebelum layak memasuki IMO. Walaupun yang mendaftar itu semunya sering mendapat markah tertinggi dalam subjek ini, mereka perlu kuat berusaha dan berlatih sekurang-kurangnya empat jam sehari.


KONGSI rahsia. Pesara ini optimis teknik ciptaannya dapat membantu pelajar sekolah menguasai matematik dengan lebih mudah.

“Di bawah Persatuan Sains Matematik Malaysia (Persama), kami juga mempunyai sekumpulan jurulatih yang terdiri daripada pensyarah dan profesor matematik tempatan, diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa IMO Malaysia yang juga Timbalan Presiden Persama, Prof. Dr. Arsmah Ibrahim dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Daripada sesi latihan dan ujian berperingkat yang dijalankan selama setahun, baru kita dapat kenal pasti enam peserta terbaik untuk mewakili negara.

“Asas pemilihan juga tidak bergantung sepenuhnya kepada kebijakan mereka menjawab soalan tetapi turut meliputi pemikiran kritis dan kreativiti mereka menyelesaikan masalah yang diberikan,” katanya yang turut menulis buku khas mengenai asas matematik bagi pertandingan Olimpiad bertujuan memudahkan guru dan pelajar membuat rujukan. Antara topik yang telah diterbitkan ialah Algebra, Kombinatoriks, Teori Nombor dan Geometri.

Selain bertanggungjawab menjadi ketua kontinjen negara, Suhaimi juga merupakan juri antarabangsa termuda yang turut serta menyediakan soalan dan menanda kertas peperiksaan pada pertandingan matematik bertaraf dunia itu.

“Tahun lepas Malaysia telah memenangi pingat perak di IMO. Kalau boleh, tahun ini kita mahu pingat emas,” ungkapnya.

Strok

Jika bakat Suhaimi digilap menerusi pertandingan IMO, lain pula ceritanya dengan Jaludin Meran, 67.

Minat yang mendalam terhadap mata pelajaran Matematik sejak di bangku sekolah telah mendorong pesara ini mencipta cara mudah untuk menguasai matematik.

Menariknya, dia mencipta kejayaan itu semasa menderita penyakit angin ahmar pada 2008.

“Semasa sakit, saya cuba mencari jalan bagaimana untuk menyelesaikan masalah pengiraan dan menguasai asas nombor kerana saya percaya ia dapat membantu saya pulih," katanya yang pernah berkhidmat sebagai Pengawal Trafik Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia selama 12 tahun.

Mengambil masa setahun setengah untuk mencipta cara mudah menguasai matematik, Jaludin banyak menggunakan kiraan dari sebelah kiri selain menghafal menggunakan kod abjad.

“Jika kaedah ini dipraktikkan, saya boleh jamin, pelajar tingkatan lima boleh mendapat A dalam subjek Matematik. Selain pengiraan lebih mudah, pelajar hanya perlu mengunakan jalan mudah untuk menyelesaikan soalan walaupun melibatkan angka yang besar,” katanya yang turut merangkumkan kaedah mudah tersebut menerusi penulisannya dalam buku setebal 110 halaman yang bertajuk Be A Math Genius In 10 Days.

Jaludin juga mencipta kaedah unik untuk mengingati kalendar.

“Dengan kaedah ini saya boleh ingat tarikh dan hari dengan tepat untuk tempoh 300 tahun,” katanya

0 comments: