Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Monday, June 13, 2011

Kerajaan Keras Kepala, Bekalan Ikan Kurang, Harga Pasti Naik Melambung

Tuntutan nelayan tidak dilayan

TANJONG KARANG - Kerajaan tidak akan melayan tuntutan kira-kira 1,000 pengusaha bot pukat tunda di Pahang, Johor dan Perlis yang melancarkan mogok sejak kelmarin untuk menuntut pemberian subsidi super diesel kepada mereka.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu tidak sepatutnya menjadi isu.

"Kita bukan tarik (terus) subsidi, kerajaan masih beri subsidi kira-kira RM1 untuk satu liter dengan harga diesel biasa, jadi tidak ada sebab mereka ingin ugut kerajaan untuk boikot dan sebagainya.

"Kalau kita betul-betul tak nak beri subsidi, kita samakan mereka dengan harga industri, tetapi ini masih jauh lebih rendah daripada harga industri,'' katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjong Karang di sini semalam.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar yang juga Ketua UMNO bahagian itu.

Kelmarin, pengusaha bot pukat tunda berkenaan mengancam untuk mogok selama tiga hari dan akan meneruskannya selagi kerajaan tidak mengambil tindakan segera berhubung perkara itu.

Kerajaan sebelum ini memutuskan pengusaha bot pukat tunda berkenaan perlu membeli diesel pada kadar RM1.80 seliter, dan bukan pada harga subsidi super RM1.25 seliter yang layak mereka nikmati sebelum ini.

Ismail Sabri berkata, langkah itu diambil kerana golongan terbabit merupakan pengusaha bot laut dalam yang berpendapatan lumayan berbanding nelayan pantai atau Zon A, B dan C.

"Kalau mereka nak bincang, kita tidak ada masalah, tetapi kalau ugut dan beri tempoh tiga hari, saya kata teruskanlah (mogok), dan kita tidak berminat untuk berbincang dengan orang seperti ini,'' katanya yang tidak menolak kemungkinan terdapat campur tangan pihak tertentu yang mempunyai agenda politik dalam memainkan isu berkenaan. -kosmo

0 comments: