Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Friday, June 24, 2011

Pesawat Terhempas : Juruterbang Malaysia Terbunuh Di Jakarta

Jakarta: Seorang juruterbang Malaysia terbunuh apabila pesawat ringannya terjunam dan terhempas di tanah lapang dalam pertunjukan aerobatik di Minang Aerosport 2011, di Kompleks Perundam III Tunggul Hitam, Padang, Sumatera Barat, petang semalam.

Juruterbang itu dikenali Kolonel (B) Zakaria Salleh dari Kelab Penerbangan Subang, Selangor.

Kedutaan Besar Malaysia, di sini, mengesahkan laporan itu dan usaha sedang dilakukan untuk menguruskan penghantaran pulang jenazahnya ke Malaysia.

Konsul General Malaysia di Medan, Norlin Othman berkata pesawat yang dipandu Zakaria ialah dari jenis Cristian Eagle dengan nombor pendaftaran N21H dan kejadian berlaku pada kira-kira jam 5.24 petang waktu tempatan.

Difahamkan, bahawa sejumlah lapan pesawat dari Malaysia termasuk pesawat berkenaan mengambil bahagian dalam pertunjukan udara itu.

Pesawat lain adalah daripada jenis C172, dua pesawat C150 dan satu pesawat PA28.

Menurut laporan media tempatan yang memetik seorang saksi, pesawat Eagle itu sedang melakukan aksi aerobatik apabila ia tiba-tiba jatuh menjunam ke tanah.

Pesawat itu juga dilaporkan mengeluarkan asap tebal sebelum menjunam ke tanah lapang di Jalan Galaksi.

Sejurus kemudian anggota polis dan Tentera Nasional Indonesia Angkatan Udara (TNI AU) mengeluarkan mangsa dan terus membawanya ke Hospital M Djamil, Padang.

Polis Padang berkata, Zakaria meninggal dunia di hospital.

Sementara itu di Kuala Lumpur, seorang rakan mangsa yang enggan dikenali berkata Allahyarham Zakaria merupakan bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan kini bertugas sebagai juruterbang eksekutif syarikat penerbangan Berjaya Air.

“Allahyarham berasal dari bandar Country Homes, Rawang, dan menyertai Berjaya Air sejak empat tahun lepas dan semasa bertugas dengan TUDM, Allahyarham adalah kapten pasukan aerobatik,” katanya.

Zakaria adalah juga kapten Kelab Penerbangan Diraja Selangor dan juga Ketua Jurulatih Penerbangan kelab itu.

Difahamkan, isterinya yang hanya dikenali sebagai Laila berada di Padang, Sumatera sebaik mengetahui kemalangan maut suaminya. -hm

0 comments: