Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Monday, March 21, 2011

DUN Sarawak: 35 peratus calon PBB-BN muka baru, kata Taib

KUCHING, 21 Mac – Barisan calon Barisan Nasional (BN) Sarawak bagi pilihan raya negeri akan datang yang dijadual diumumkan sehari sebelum penamaan calon, bakal menyaksikan perubahan besar dalam senarai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), daripada segi muka baru yang akan dicalonkan.

Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang juga Pengerusi BN Negeri dan Presiden PBB berkata sudah menjadi amalan

pengumuman senarai muktamad calon hanya dibuat selepas disahkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang juga Pengerusi BN pusat.

“Saya masih belum menerima senarai bagi tiga lagi parti komponen BN negeri tetapi kira-kira sesuku daripada 35 calon PBB adalah muka baru dan muda,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Ahli-Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Sarawak 2011 di sini, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka bermesyuarat di sini pada Rabu untuk memutuskan tarikh penamaan calon dan pengundian selepas Dewan Undangan Negeri dengan 71 kerusi dibubarkan hari ini untuk diadakan pilihan raya negeri ke-10, dijangka bulan depan.
Ketika ini, BN menguasai 63 kerusi iaitu 35 daripada PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) 12 manakala Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) masing-masing lapan kerusi.

Enam lagi kerusi dikuasai oleh DAP manakala Parti Keadilan Rakyat dan Parti Cinta Malaysia (PCM), menerusi wakil rakyat Bebas, masing-maing menguasai satu kerusi.

Kepada soalan siapakah yang mungkin dipilih sebagai pengganti beliau, Taib yang pada Sabtu lepas berkata yang beliau akan meletakkan jawatan pada pertengahan penggal baru, memberitahu pihak yang sangsi supaya melihat rekod beliau, terutamanya selama 30 tahun menerajui kerajaan negeri.

“Jika anda mengkaji kelakuan saya lebih 30 tahun lepas, saya tidak pernah berbohong atau bermain politik kotor,” katanya semasa diminta mengulas kenyataan pemimpin DAP Lim Kit Siang behawa beliau bersikap “kabur dan terumbang-ambing” mengenai perancangannya untuk meletakkan jawatan, termasuk tidak menamakan penggantinya.

“Semasa pilihan raya, anda tidak mahu wujudkan isu. Saya mengambil sikap berdiam diri berbanding dengan DAP,” kata Taib yang akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Balingian di samping dipertanggungjawabkan mengetuai kempen pilihan raya BN.

Sambil menyelar Lim, katanya: “Anda fikir saya bodoh (sehingga tidak mempunyai pelan peralihan)? Kenapa DAP tidak menamakan pengganti mereka?” – Bernama

0 comments: