Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Wednesday, March 23, 2011

Kembalikan wang saman ekor

KUALA LUMPUR, 23 Mac: Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) menuntut kerajaan mengembalikan wang rakyat yang telah membayar saman ekor akibat tidak boleh memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu.

Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, kerajaan mengambil wang mangsa saman ekor 'secara paksa' dan menyusahkan mereka yang terpaksa beratur panjang untuk membuat pembayaran.

Namun katanya, selepas itu mesyuarat kebinet pada Jumaat lalu memutuskan untuk menagguhkan senarai hitam pemilik kenderaan sehingga kerajaan boleh membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak berhak menyenarai hitam dan menghalang pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan.

"Keputusan kabinet pada Jumaat untuk menangguhkan senarai hitam bermaksud pemilik kenderaan boleh perbaharui cukai jalan. Jadi bagaimana dengan mereka (mangsa saman ekor) yang dah bayar?

"Kase menuntut kerajaan mengembalikan wang mereka sebab daripada awal lagi kami tegaskan kerajaan tak ada hak untuk menyenarai hitam pemilik kenderaan sebelum mahkamah membuktikan mereka bersalah," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut mempersoal keputusan kerajaan yang menangguh senarai hitam itu sehingga mereka boleh membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching dalam kes ini sedangkan katanya, tempoh untuk kerajaan membuat rayuan telah tamat.

"Tempoh untuk kerajaan merayu dah tamat. Jadi tak tahu kerajaan akan salah gunakan undang-undang mana lagi untuk bolehkan mereka membuat rayuan," tegasnya.

Sementara itu, seorang mangsa saman ekor, Nashita Mohd Nor kesal apabila beliau tetap tidak boleh memperbaharui cukai jalan di JPJ Wangsa Maju pagi tadi.

"Saya pergi JPJ Wangsa Maju pagi tadi untuk perbaharui cukai jalan tapi tetap tida boleh. Sedangkan kementerian kata dah tangguh senari hitam," katanya.

Saman kerajaan

Sementara itu, Kase katanya dalam proses mengambil tindakan mahkamah terhadap Kementerian Pengangkutan khususnya JPJ jika mereka tida menarik balik senarai hitam pemilik kenderaan.

Tindakan mahkamah ini bagi menuntut gantirugi kehilangan penggunaan kenderaan kerana dihalang JPJ tanpa alasan yang sah.

"Kase sudah bermesyuarat semalam dengan panel undang-undang dan bersetuju untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap JPJ.

"Sebagai permulaan, kami akan kumpulkan sepuluh mangsa dari setiap negeri dan akan kumpul maklumat mereka," katanya.

Sehubungan itu. Kase meminta pemilik kenderaan yang ingin berbuat demikian memberikan maklumat lengkap mereka kepada jawatankuasa.

"Segala maklumat boleh disalurkan melalui email kami iaitu kempenantisamanekor@gmail.com atau ke laman facebook Kase untuk mendapat maklumat lanjut," katanya.

Turut bersama beliau ahli Parlimen Jerai Firdaus Jaafar yang juga pengerusi Kase negeri Kedah dan peguam Zulhazmi Shariff.-/ Harakahdaily

0 comments: