Siapa yang tidak bimbang melihatkan anak-anak kecil membawa beg-beg sekolah yang kadang-kadang lebih besar dan berat dari saiz tubuh mereka sendiri? Ibu bapa manakah yang sanggup melihat keadaan ini berterusan? Sedarkah kita kesan-kesan buruk yang mungkin dihadapi oleh anak-anak kecil ini?
Mungkin ada di antara kita yang sedar mengenai perkara ini dan sudah menukar beg galas kepada beg beroda yang mudah ditarik. Namun demikian, tidak semua anak-anak kecil ini mendapat keselesaan yang diidamkan. Dalam satu edisi jurnal saintifik Spine, editornya James N. Weinstein cuba mendedahkan kesan-kesan buruk beg berat kepada pelajar-pelajar sekolah dan bagaimana ianya menyumbang kepada transformasi tidak diingini kepada tulang belakang mereka.
Penyelidikan ini dijalankan dengan bantuan Resonance Magnetic Imaging (MRI) yang membenarkan pengimejan tulang belakang (lumbar) dalam keadaan berdiri. Tiga kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan sukarelawan berumur 9-13 tahun dengan berat antara 35-52 kilogram juga telah membantu menjalankan kajian ini. Mereka diminta berbaring lurus di atas katil, berdiri tanpa membawa sebarang beg, dan kemudiannya berdiri dengan menggalas beg seberat 4 kilogram, 8 kilogram, dan 12 kilogram.
Berat beg-beg tersebut sebenarnya bersesuain dengan anggaran 10%, 20% dan 30% purata berat badan kanak-kanak normal. Beg-beg itu digalas setiap satu selama 10-15 minit menggunakan kedua-dua bahu secara seimbang.
Keputusannya : beg-beg ini telah menyebabkan cakera-cakera intervertebrata bertindihan antara satu sama lain secara paksaan, terutamanya pada bahagian tengah dan bawah tulang belakang. Ianya juga telah menyebabkan ketidakseimbangan simetri kepada tulang belakang, dengan purata 5 kali kesan berat diedarkan kepada bahagian kanan, sementara 3 kali kesan berat diedarkan ke bahagian kiri tulang belakang.
Agak mengejutkan, tidak terdapat kesan-kesan ketara terhadap bentuk tulang belakang. Ini disebabkan oleh kaedah adaptasi automatik oleh badan-badan kanak-kanak tersebut terhadap berat-berat beg yang mereka galas dengan membongkokkan badan mereka. Namun demikian, kaedah-kaedah adaptasi ini telah menyebabkan kesakitan kepada bahagian belakang badan mereka, yang mana kadar kesakitan adalah berdasarkan jumlah berat yang digalas. (Menggalas 12 kilogram lebih menyakitkan tulang belakang berbanding 8 kilogram)
Untuk kesan jangka masa panjang, kemungkinan besar kanak-kanak ini akan menghadapi masalah kesakitan kronik pada tulang belakang mereka. Lebih buruk, mereka mungkin menghadapi masalah tulang belakang bongkok sebelum hari tua mereka!
Menurut saintis-saintis yang menjalankan ujian-ujian ini, ianya membuktikan bahawa menggalas beg-beg berat memberi kesan buruk kepada tulang belakang kanak-kanak, walaupun hanya berat 4 kilogram (10% dari purata berat badan kanak-kanak) sahaja yang digalas. Mereka menasihatkan supaya kajian-kajian dijalankan untuk menghindarkan kanak-kanak ini menggalas beg-beg sekolah yang berat setiap hari.
Oleh yang demikian, bagaimanakah cara untuk mengurangkan beban anak-anak kecil ini?
1. Pilih beg sekolah yang beroda dan ditarik, dari beg sekolah yang digalas. Namun demikian, postur badan hendaklah diajar kepada kanak-kanak iaitu menarik dengan badan yang lurus, bukan membengkokkan badan ke kiri atau ke kanan.
2. Memperkenalkan laci di sekolah untuk memuatkan buku-buku teks yang berat. Laci-laci tersebut hendaklah dikunci menggunakan kad magnetik yang diintegrasikan dalam lencana atau tanda nama kanak-kanak supaya mereka tidak lupa untuk membawanya ke sekolah. Guru-guru juga dibenarkan membawa “kunci utama” sekiranya kanak-kanak lupa membawa kunci.
3. Memisahkan buku-buku latihan yang perlu dibawa ke rumah dengan buku-buku teks yang mengandungi pembelajaran. Oleh yang demikian, buku latihan untuk dibawa ke rumah akan menjadi lebih ringan. Ibu bapa harus memainkan peranan untuk membantu anak-anak mereka di rumah.
4. Menggantikan buku-buku teks dengan CD atau DVD interaktif yang boleh dimainkan oleh pemain-pemain DVD atau komputer. Dengan itu, CD atau DVD ini akan menggantikan buku-buku rujukan yang berat.
5. Memperkenalkan kaedah komputer untuk pelajar di sekolah. Semua latihan dan pembelajaran boleh disimpan dalam kunci-kunci USB yang boleh dibawa ke rumah. Dalam hal ini, pelajar perlu mempunyai komputer di rumah, yang mana bukannya keselesaan yang dinikmati oleh semua pelajar dalam dan luar bandar.
6. Setiap subjek diajar secara 2 jam per subjek, dari 1 jam per subjek. Dengan ini bilangan subjek yang dipelajari setiap hari akan kurang, tanpa mempengaruhi bilangan jam final untuk setiap subjek. Dengan kata lain, katakan belajar sejam Matematik pada hari Isnin, dan sejam Matematik pada hari Selasa, jadikannya 2 jam Matematik pada hari Selasa sahaja. Untuk hari Isnin, gantikan Matematik dengan 2 jam subjek lain yang perlu diajar pada hari itu. Kaedah ini digunakan di Perancis, jadi kenapa tidak perkenalkan di Malaysia?
Kesimpulannya, semua pihak harus berusaha untuk menyelesaikan masalah beg-beg berat kepada kanak-kanak ini. Mereka berhak mendapat masa depan yang sihat tanpa perlu risau kepada tulang belakang mereka. Peranan yang dimainkan oleh ibu bapa adalah sama penting dengan peranan yang perlu dimainkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Bersamalah kita menjamin masa depan anak-anak kita.
0 comments:
Post a Comment