Sumber Kosmo
ORANG ramai melihat sebuah jet pejuang F-15E yang terhempas dekat bandar Benghazi di Libya semalam.
LONDON – Sebuah jet pejuang Amerika Syarikat terhempas di sebuah kawasan lapang di Libya
Namun dua juruterbang tersebut telah diselamatkan oleh anggota-anggota pemberontak di kawasan dekat kubu kuat penentang pemimpin Libya, Muammar Gaddafi.
“Kami baru sahaja menemui jet pejuang Amerika itu di sebuah kawasan lapang dan ia dipercayai mengalami kegagalan mekanikal yang menyebabkan ia terhempas.
“Krew-krew jet itu dipercayai selamat,” kata pemberita akhbar Daily Telegraph, Rob Crilly melalui laman Twitternya.
Jurucakap ibu pejabat perintah di Stuttgart, Karin Burzynski berkata, salah seorang krew telah berjaya diselamatkan dan pembedahan untuk menyelamatkan seorang lagi masih dilakukan.
Mereka hanya mengalami luka kecil selepas keluar dari jet dengan menggunakan kerusi anjal.
Sementara itu, jurucakap tentera Amerika, Vince Crawley mengesahkan nahas itu tetapi menolak untuk memberitahu lokasi sebenar tempat kemalangan.
Dia juga tidak mahu mendedahkan bagaimana dan ke mana krew pesawat telah dibawa.
Crawley menegaskan nahas itu berlaku adalah disebabkan oleh kegagalan mekanikal dan bukan kerana tembakan musuh.
Serangan udara pasukan tentera Barat sudah memasuki malam ketiga yang meletakkan sasaran untuk melindungi orang awam daripada pasukan tentera yang setia kepada pemimpin Libya, Muammar Gaddafi.
Kehadiran jet tentera itu adalah untuk menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya setelah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang meluluskan resolusi untuk mengenakan larangan tersebut.
Pergolakan di Libya bermula sejak 15 Februari lalu apabila sejumlah penunjuk perasaan membuat tunjuk perasaan bagi menentang kepimpinan Gaddafi yang sudah memerintah hampir 42 tahun.
Tunjuk perasaan itu kemudian bertukar menjadi pertempuran antara para pemberontak dengan askar-askar Gaddafi.
Para penentang itu menganggap Gaddafi gagal memerintah dengan baik dan membazirkan wang negara. – Agensi
0 comments:
Post a Comment