“Pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru mendesak kerajaan melalui Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar menarik balik pembentangan Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 di Parlimen dengan segera, bukan hanya menangguhkannya.
“Jika tindakan ini tidak diambil, pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru akan menyerahkan memorandum bantahan mereka ke kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan kemudian Yang di-Pertuan Agong, mereka juga tidak teragak-agak untuk turun ke Parlimen bersama ahli-ahli Parlimen yang bersama mempertahankan hak mereka,” kata wakil rakyat ini dalam satu kenyataan hari ini.
Semenjak Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin mengumumkan cadangan untuk mewujudkan rang undang-undang itu, ia mendapat tentangan hebat pemilik dan pewaris tanah kawasan tersebut.
Malah ada pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru berkata mereka tidak pernah sama sekali memberi persetujuan agar rang undang-undang itu digubal seperti mana dikatakan oleh Raja Nong Chik bahawa hampir 90 peratus telah bersetuju.
Terdapat lebih 4,000 pemilik tanah Kampung Baru melibatkan tujuh kampung dengan kawasan seluas 90.2 hektar.
Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 akan dibentangkan kali kedua di Dewan Rakyat Jun ini.
Sepatutnya ia dibentang pada bulan ini namun ditangguhkan sehingga Jun bagi memperhalusi semula draf undang-undang itu. Sebelum ini Raja Nong Chik berkata kerajaan komited dalam membangunkan Kampung Baru demi manfaat kira-kira 5,000 pemilik tanah di kampung tertua di ibu negara itu.
Menurut Lo’ Lo’, dalam pertemuan kelmarin, pemilik dan pewaris tanah mendesak kerajaan sebarang pindaan atau penyediaan rang undang-undang baru perlu membuat perbincangan terlebih dahulu dengan mereka.
“Pemilik dan pewaris tanah mendesak sebarang pindaan dan juga penyediaan suatu rang undang-undang baru hendaklah dibuat setelah mengadakan perbincangan dengan pemilik dan pewaris tanah dan juga wakil-wakil yang dipilih serta dilantik sendiri oleh mereka.
“Mereka mahukan draf terakhir yang telah dipersetujui dibentangkan kepada mereka terlebih dahulu sebelum dibentangkan di Parlimen,” katanya.
Jelas beliau, pemilik dan pewaris tanah tidak menentang pembangunan tetapi dengan syarat ia perlu mengekalkan ciri-ciri orang Melayu yang sudah lama mendiami kawasan itu.
“Pemilik dan pewaris juga menyatakan pendirian mereka bahawa mereka tidak menentang pembangunan sebaliknya mahukan sebarang pembangunan perlu mengambil kira kepentingan mereka dan terus mengekalkan ciri-ciri Melayu Islam dan bukannya pembangunan moden komersial 100 peratus.
“Mereka juga mendesak kerajaan agar memberikan mereka satu dana khas untuk mereka membangunkan sendiri tanah mereka seperti mana yang telah dilaksanakan oleh PKNS lebih 20 yang lalu, jika benar kerajaan ikhlas ingin membantu mereka membangun.
“Bagi pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru isu yang paling penting ialah sebarang bentuk pembangunan atau rancangan yang melibatkan mereka hendaklah dipersetujui oleh mereka terlebih dahulu dan mengambil kira kepentingan mereka bukannya kepentingan pihak-pihak lain,” katanya.
0 comments:
Post a Comment