Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Friday, March 18, 2011

Nong Chik Dicabar Buktikan 90% Penduduk Kg Baru Setuju

Hormati hak pemilik tanah Kg Baru

SHAH ALAM: Kerajaan perlu menghormati pemilik tanah Kampung Baru kerana mereka berhak membuat keputusan berhubung pemilikan tanah di kawasan terbabit, kata pakar undang-undang Prof Dr Aziz Bari.

Beliau berpendapat isu Kampung Baru ini tidak boleh dilihat melalui sudut perundangan semata-mata. Sejarah serta latarbelakang berhubung isu ini perlu diambil kira, katanya.

“Bila bercakap mengenai masa depan Kampung Baru, saya berpendapat perbincangan berterusan perlu ada. Banyak sisi politik yang melibatkan harta rezab Melayu dan perlu ada kajian secara terperinci sebelum keputusan diambil oleh kerajaan,”

“Mungkin kerajaan boleh kata ia adalah hak mereka untuk ambil atau tidak kawasan itu tapi isunya nanti akan jadi isu politik dan juga isu perlembagaan.

“Memang dari segi undang-undang kerajaan ada kuasa untuk ambil tanah penduduk cuma pampasan itu mesti selaras dengan harga pasaran, maksudnya harga yang munasabah,” katanya ketika ditemui FMT di wacana ekonomi di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) semalam.

Menurut beliau, pemilik tanah boleh mencabar Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin di mahkamah bagi membuktikan majoriti pemilik tanah di kawasan itu bersetuju dengan cadangan mewujudkan Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru 2010.

Dr Aziz berkata sehingga hari ini Raja Nong Chik masih belum membuktikan secara bertulis majoriti bahawa pemilik tanah bersetuju dengan cadangan tersebut.

Nong Chik, katanya , berkata hampir 90 peratus pemilik telah bersetuju.

“Isunya sekarang hak penduduk untuk kekal di situ, dengan cara hidup mereka. Ini adalah isu besar dan kerajaan tidak boleh melalui Parlimen meluluskan rang undang-undang ini.

“Rang undang-undang ini tak perlu, ia adalah kehendak rakyat bukan keputusan kerajaan, maknanya kerajaan kena akur dengan kehendak rakyat.

“Lainlah kalau kerajaan boleh buktikan majoriti bersetuju, itu lain cerita tapi ia susah nak buat… adakah ada kajian yang dibuat? Kalau kata 90 peratus setuju tapi adakah ia sahih, adakah ia betul?

“Maka penduduk boleh membawa masalah ini ke mahkamah untuk mencabar buktikan kesahihan perkara itu,” jelas beliau.

Cadangan untuk mewujudkan Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 mendapat tentangan hebat pemilik dan pewaris tanah di kawasan itu.

Malah ada pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru berkata mereka tidak pernah sama sekali memberi persetujuan agar rang undang-undang itu digubal seperti dikatakan Raja Nong Chik.

Terdapat lebih 4,000 pemilik tanah Kampung Baru melibatkan tujuh kampung dengan kawasan seluas 90.2 hektar.

Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 akan dibentangkan kali kedua di Dewan Rakyat pada Jun ini. -FMT

0 comments: